PUTRAJAYA 30 Okt. – Kesiapsiagaan dalam menghadapi monsun timur laut (MTL) yang bermula 27 Oktober lalu perlu dipandang serius oleh semua pihak termasuk agensi penyelamat dan penguatkuasaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengendalian aset logistik semasa bencana amat kritikal yang mana memerlukan penyelarasan cekap agar aset berkenaan dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin.
Beliau berkata, cuti semua anggota agensi terutama anggota penyelamat dan pasukan pengurusan bencana pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dibekukan bermula November hingga Disember ini.
“Berdasarkan pembentangan Jabatan Meteorologi, MTL telah pun bermula dan dijangka berlarutan hingga Mac 2019. Amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada (kuning) pada 29 Oktober hingga 1 November telah pun dikeluarkan bagi Kelantan dan Terengganu pada 27 Oktober lalu.
“Pada hari sama, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kepada agensi-agensi berkaitan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bil. 1/2018 di sini hari ini.
Jelas Dr. Wan Azizah, beberapa peruntukan iaitu bagi perbelanjaan operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.77 juta telah diluluskan dan dalam proses pengagihan. – UTUSAN ONLINE









