KOTA KINABALU – Tempoh reman 11 anggota polis berpangkat konstabel hingga inspektor dilanjutkan tiga hari hingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan transaksi wang berjumlah puluhan ribu ringgit antara tahun 2014 hingga tahun ini.
Majistret Cindy Mc Juse Balitus menetapkan keputusan itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.
Terdahulu, pada Selasa lalu kesemua suspek berusia antara 26 hingga 55 tahun direman selama tujuh hari dan tamat hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Mereka ditahan kerana dipercayai menerima suapan berjumlah puluhan ribu ringgit secara tunai dan dalam talian antara tahun 2014 hingga Jun lalu.
Tindakan berkenaan dikatakan bertujuan melindungi pesalah bagi kes dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada prosiding tersebut kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basirudin manakala suspek tidak diwakili peguam.
Jika disabitkan bersalah suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan. – K! ONLINE











