Kerjasama UPSI-USWLU - Utusan Malaysia

Kerjasama UPSI-USWLU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM 16 Okt. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah baharu apabila menjadi universiti pertama dari negara ini mengadakan kerjasama dengan Institusi Pendidikan di Uzbekistan menubuhkan Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu di negara tersebut.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Mohamad Shatar Sabran berkata, UPSI mendapat kepercayaan menubuhkan pusat berkenaan di Uzbekistan State University of World Languages (USWLU) di Tashkent hasil komitmen berterusan universiti itu membantu perkembangan pendidikan di Uzbekistan.

Tambah Mohamad Shatar, penubuhan pusat tersebut me­rupakan hasil kolaborasi melalui perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani kedua-dua pihak sebelum ini.

“Pusat itu akan menjadi sumber rujukan kepada semua pihak di Uzbekistan dan negara sekitar untuk mendapatkan maklumat mengenai Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan Melayu termasuk merangkumi seni dan budaya Melayu itu sendiri.

“Pusat ini juga akan menjalankan aktiviti-aktiviti pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan, terjemahan manuskrip, bengkel-bengkel per­kongsian amalan terbaik dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pusat Bahasa dan Budaya Melayu UPSI-USWLU di negara tersebut baru-baru ini.

Yang turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Hendy Assan.

Menurut Mohamad Shatar, buat masa ini, seorang guru bahasa Melayu UPSI telah ditugaskan untuk menggerakkan operasi pusat tersebut dan mengendalikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sana.

Pada masa sama, kata Mohamad Shatar, sumber dan bahan rujukan bahasa Melayu telah ke bawa sana hasil sumbangan Pejabat Karang Mengarang UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka, Karangkraf dan orang perseorangan.

“UPSI juga telah merancang untuk mewujudkan “Kumpulan Kerja Bersama” yang akan melibatkan Institusi-Institusi Pendidikan dari Malaysia dan Uzbekistan bagi meneroka peluang-peluang kerjasama lain untuk manfaat kedua-dua Negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN