MOSCOW 29 Okt.- Kerjasama media antara Malaysia dan Rusia sentiasa diperkukuhkan termasuk bidang kewartawanan, perkongsian maklumat berita serta laman media sosial.
Ketua Bahagian Projek Antarabangsa, Agensi Berita Sputnik Rusia, Vasily Pushkov berkata, hubungan media antara kedua-dua negara itu perlu bagi memastikan maklumat yang didapati sahih dan tidak ditokok tambah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, laporan berita seperti kes penerbangan MH17 melibatkan dua negara perlu ditulis dengan tepat bagi memastikan orang ramai tidak salah faham dan keliru dengan pemberitaan yang ditulis.
“Kita bukan sahaja memperkukuhkan hubungan dengan Malaysia, malah di negara-negara lain seperti India dan Filipina menerusi memorandum persefahaman (MoU).
“Saya yakin pengamal media telah memberikan kerjasama dan akan terus lakukan yang terbaik, berintegriti serta bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada kedua-dua negara supaya kita dapat lihat informasi yang diterima itu berterusan,” katanya.
Beliau berkata kepada Utusan Online ketika Program Wartawan Muda Sputnik di Moscow, Rusia hari ini.
Seramai 40 wakil agensi berita dari beberapa negara antaranya Malaysia, India, China dan benua Afrika hadir dalam program lima hari itu bermula hari ini.
Menurut Vasily, media bukan sahaja berperanan sebagai penyebar maklumat yang tepat malah memikul amanah penting dalam menyuburkan perasaan keamanan kepada masyarakat.
“Kita lihat dalam ledakan media baharu, negara-negara Asia ini mempunyai pengikut yang ramai berbanding benua lain justeru hubungan yang konsisten perlu bagi memastikan maklumat berkenaan tepat dan benar,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai program itu, Vasily memberitahu, program tersebut merupakan acara tahunan agensi berita itu bagi memberi pendedahan mengenai budaya kerja pengamal media di negara berkenaan.
“Kita jemput wakil agensi berita dari negara-negara lain dan saya rasa program seperti ini adalah platform terbaik untuk berkongsi maklumat dan bertukar pandangan antara satu sama lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










