GUA MUSANG 24 Okt. – Polis menyifatkan jajahan ini sebagai kawasan tidak selamat untuk penjenayah bagi melakukan kegiatan mereka berikutan wujud kerjasama erat daripada masyarakat untuk melaporkan perkara itu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Din Ahmad berharap pendekatan polis bersama masyarakat seperti itu diteruskan di samping anggota berkhidmat dengan penuh integriti.
Beliau berkata, hasil kerjasama yang ditunjukkan setakat ini membuktikan kadar jenayah menurun.
“Walaupun daerah ini paling luas di Kelantan, namun soal jenayah boleh ditangani dengan baik kerana maklumat cepat diperoleh.
“Kalau nak ikutkan kawasan memang luas tetapi kita mempunyai penyusunan strategi yang teratur di samping ada maklumat daripada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada 20 individu termasuklah dua orang pengamal media di daerah ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin.
Jelas Din lagi, indeks jenayah di 10 buah IPD di negeri ini pada tahun ini menunjukkan trend menurun berbanding tahun lepas kerana anggota dan pegawai pasukan tersebut melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.
“Kadar jenayah menunjukkan penurunan kepada 483 kes di negeri ini setakat ini. Kita harap dapat diturunkan lagi ke tahap terendah sehingga akhir Disember.
“Bagaimanapun kita perlu mengakui beban tugas semakin mencabar untuk kita menyesuaikan dengan arahan yang dikeluarkan setiap masa,” katanya.










