TAIPING – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) sebagai persediaan awal sebelum perlaksanaan pembukaan pintu sempadan 24 jam Malaysia dan Thailand.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kerjasama itu turut melibatkan beberapa agensi besar di dalam Aksem seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang menjalankan kawalan di kawasan perairan.
Jelasnya, persediaan itu bukan sahaja tertumpu di negeri Kelantan namun, ia turut melibatkan sempadan dua buah negara di Bukit Kayu Hitam,Kedah dan Padang Besar,Perlis.
“Meskipun perlaksanaan itu masih di peringkat dasar, kita juga akan bekerjasama dan perbincangan dengan pihak Imigresen Thailand.
“Persediaan ini bukan hanya di pintu masuk sah yang ditadbir oleh JIM sahaja namun, ia turut melibatkan aspek kemungkinan terdapat ruang pembolosan dan penyeludupan di pintu masuk haram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Kursus Pasukan Kawalan Khas (PKK), JIM Peringkat Zon Utara Siri 1/2018 yang melibatkan seramai 31 orang pegawai imigresen di Pusat Latihan Pegawai Penjara di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail, Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik dan Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin.
Mustafar mengulas mengenai perkara itu ketika ditanya pemberita selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengeluarkan kenyataan yang mahu kerajaan pusat mengkaji implikasi terhadap pembukaan sempadan Malaysia dan Thailand selama 24 jam di negeri itu.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia dan Thailand bersetuju untuk membuka pintu sempadan 24 jam sehari dalam menggalakkan perdagangan bagi kedua-dua buah negara.
Kerjasama itu dijangka akan membantu menggalakkan pertumbuhan kekayaan kedua-dua buah negara kerana perdagangan meningkatkan kekayaan negara.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mustafar berkata, meskipun berhadapan dengan kekurangan anggota penguatkuasa di sempadan, kerjasama dengan agensi lain dapat menampung peranan dalam mencegah pembolosan penyeludupan negara.
“Semua pihak tidak boleh mengharap JIM sahaja untuk mentadbir di kawasan sempadan. Jadi, kita sentiasa melakukan persediaan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan,” katanya. – K! ONLINE










