Kereta nasional baharu menjelang 2020 - Utusan Malaysia

Kereta nasional baharu menjelang 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Projek kereta nasional baharu dikatakan mempunyai pendekatan yang agak berbeza dengan pengeluar kereta nasional sedia ada seperti Proton dan Perodua kerana bakal menggabungkan beberapa buah syarikat teknologi dan pembekal tempatan bagi menghasilkan sebuah kenderaan.

Ia juga akan menumpukan kepada kenderaan masa hadapan seperti pemanduan berautonomi namun masih belum memuktamadkan jenis penjana kuasa untuk kenderaan tersebut, sama ada menggunakan enjin petrol/diesel ataupun kenderaan elektrik atau hibrid. Kereta nasional baharu yang berasaskan teknologi semiautonomous atau pemanduan sendiri akan mula berada di pasaran dua tahun lagi.

Selain itu, katanya kerajaan akan memberi peluang dan kepercayaan kepada kepakaran golongan muda untuk terlibat sepenuhnya dalam pembuatan kereta nasional baharu tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, mengikut jangkaan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), prototaip untuk model ini dijangka siap awal tahun depan. Buat masa ini kami telah menyenaraikan dua hingga tiga rakan kongsi strategik yang akan menyertai projek ini termasuk Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) dan Silterra Malaysia Sdn. Bhd.

“Saya yakin projek kereta baharu itu akan merancakkan semula industri automotif negara dan sekali gus menyokong industri komponen ke arah memacu perusahaan kecil dan sederhana,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Projek Kereta Nasional Baharu di Cyberjaya baru-baru ini.

Kos pembangunan model kereta nasional baharu ini dikatakan lebih rendah kerana akan ditanggung bersama oleh pihak swasta yang mengambil bahagian. Pengeluaran kereta ini juga akan dibuat di dalam negara dan buat masa ini MIGHT masih lagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang akan berkolaborasi dalam projek ini.

Kini hanya tinggal dua tahun lagi untuk kita melihat kelahiran kereta nasional baharu Malaysia meluncur di jalan raya. Walaupun agak singkat jika diambil kira dengan standard industri, namun ia tidak mustahil untuk dilaksanakan memandangkan terdapat syarikat luar negara yang telah berjaya mengurangkan masa pembangunan reka bentuk kereta kurang dari 11 bulan. Mungkin buat permulaan kereta nasional baharu ini akan dibangunkan menggunakan penjana kuasa sedia ada dari pengeluar lain bagi mempercepatkan tempoh pembangunannya.

MIGHT telah menyenaraikan faktor-faktor yang membolehkan negara mempunyai Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP).

Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd Yusof Sulaiman berkata, ketika ini pihaknya sedang giat memilih rakan strategik bagi menjayakan projek berkenaan dengan 100 peratus pembabitan syarikat tempatan.

“Kita tidak menganggap projek ini sebagai kenderaan nasional ketiga, sebaliknya ia adalah projek baharu memandangkan teknologi yang diguna pakai berbeza dengan Proton atau Perodua. Malah, kami juga percaya ia adalah jenama kenderaan keluaran Malaysia yang pertama dihasilkan melalui revolusi Industri 4.0,” katanya.

Dr. Mohd Yusof menjelaskan, tidak timbul isu persaingan dengan jenama lain di pasaran tempatan, kerana model ini dihasilkan untuk pasaran global dan buat masa ini MIGHT masih belum memutuskan jenis kenderaan yang akan dihasilkan sama ada sedan, kompak atau kenderaan utiliti sukan (SUV).

Sementara itu, Redzuan berkata, walaupun tempoh pelaksanaan projek kereta terbaru ini dilihat terlalu singkat, namun pihaknya yakin ia dapat dilaksanakan.

Tempoh dua tahun untuk pengeluaran pertama adalah tidak mustahil kerana teknologi pencetus memungkinkan pelbagai perkara.

“Jika ia dihasilkan secara konvensional sebagaimana pengeluaran kenderaan hari ini, tempoh dua tahun itu adalah mustahil. Namun, projek ini menggunakan teknologi yang jauh berbeza dan kami yakin ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Model kereta nasional baharu berkenaan menggunakan 100 peratus teknologi pencetus baharu dan tidak mengikut jejak pengeluaran kenderaan konvensional.

“Kita tidak menganggap projek ini sebagai kenderaan nasional ketiga, sebaliknya ia adalah projek baru memandangkan teknologi yang diguna pakai berbeza dengan Proton atau Perodua.

“Malah, kami juga percaya ia adalah jenama kenderaan keluaran Malaysia yang pertama dihasilkan melalui revolusi Industri 4.0,” katanya.

Dalam erti kata lain, MIGHT memberi kesimpulan bahawa mobiliti dan kelestarian merupakan elemen penting di dalam pembangunan NNCP.

Idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membangunkan sebuah kereta nasional baharu bakal menjadi kenyataan apabila Kumpulan Kerajaan-Industri Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) mengumumkan badan berkenaan diberikan mandat sebagai penyelaras pelbagai kementerian, agensi, industri dan para akademik bagi menjayakan projek itu.

Keputusan melaksanakan projek kereta nasional baharu ini dijangka akan mengubah landskap industri pembuatan negara dan memperkasakan lagi keupayaan kejuruteraan Malaysia supaya lebih berdaya saing di peringkat global.

Prototaip awal kereta nasional baharu ini akan mula diuji seawal tahun hadapan dan ia akan mula diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2020.

Adakah kita bersedia?

1Perkembangan Revolusi Industri Keempat (4th Industrial Revolution) dan Industry 4.0 yang berteraskan kemajuan dalam bidang robotik, data raya (big data), augmented reality, cloud computing, Internet of Things (IOT), 3D printing, Cybersecurity, AR/VR dan sebagainya.

2 Sustainable Development Goals (SDG) – produk pada masa hadapan yang akan bercirikan lestari daripada produk sekarang.

3 Negara sudah bersedia berdasarkan laporan-laporan organisasi multilateral seperti:

n Malaysia menduduki tempat ke-9 bagi negara pengeksport teknologi tinggi – Bank Dunia

n Malaysia bakal menjadi “Mighty Five Manufacturing Nations” menjelang tahun 2020 – United States Council on Competitiveness

n Malaysia berada di tempat ke-23 dalam World Economic Forum Global Competetitiveness Report 2017-2018

n Malaysia berada di kedudukan ke-20 dalam Readiness for the Future of Production.

adakah malaysia bersedia?

1 Menggembleng teknologi-teknologi sedia ada bukan sahaja dalam sektor automotif, malah dari pelbagai sektor yang berteknologi tiggi seperti aeroangkasa, maritim, rel dan sebagainya.

Syarikat yang disenaraikan ialah:

n CTRM – komposit aeroangkasa

n FGC dan Sime Darby Plantation – nanocellulose

n BMW – kenaf (produk bahagian dalaman kenderaan)

n Petronas – Formula Satu

2 Menyelaraskan semua inisiatif dan sumber dalam menyokong projek ini. Contohnya SIRIM dan GMI.

3 Pembangunan pembekal tempatan-pembekal konvensional kereta membekal 4,000 komponen.

Peranan pihak industri dan kerajaan

n Kereta adalah platform terbaik untuk membawa kecekapan (competency) dan penguasaan teknologi kejuruteraan tempatan ke aras yang lebih tinggi.

n Sistem Connected Cars dan persekitaran Bandar Pintar (Smart City).

n Pembekal sedia ada (lebih 600 syarikat sejak 2017).

n Pasaran yang lebih meluas (ASEAN mempunyai 600 juta penduduk).

Mengapa kereta?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN