CYBERJAYA 4 Okt. – Kereta nasional baharu ‘semi autonomous’ atau pandu sendiri yang pertama seumpamanya akan mula berada di pasaran pada tahun 2020.
Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Mohamad Yusof berkata, kereta tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh sektor swasta menerusi projek kereta nasional baharu.
Menurutnya, kenderaan yang sepenuhnya berasaskan pada revolusi industri 4.0 itu menyasarkan pasaran dalam kalangan golongan muda.
“Kita sekarang sedang mengenal pasti dua atau tiga rakan strategik untuk menyertai projek ini termasuk Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) dan Silterra Malaysia Sdn. Bhd.
“Prototaip untuk model ini dijangka siap pada awal tahun depan,” katanya pada sidang akhbar mengenai projek kereta nasional baharu di Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman.-UTUSAN ONLINE.











