PASIR MAS 16 Okt. – Kerdipan mata menjadi satu-satunya medium pengikat kasih seorang ibu, Tuan Nor Azizah Tuan Mat, 61, dari Kampung Landar, Kasar di sini untuk berkomunikasi dengan anaknya.
Semua itu berlaku, setelah anak lelaki yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Indah, Ampang rebah di rumahnya selepas diserang penyakit asma kronik pada 24 Mac lalu.
Difahamkan sebelum itu, Nik Muhammad Yusrizal telah bertungkus-lumus mengecat bilik darjah bawah seliaannya, bagi membolehkan murid-muridnya menyertai pertandingan kebersihan dan keceriaan peringkat sekolah.
Serangan asma itu menyebabkan Nik Muhammad Yusrizal Kamaruzaman, 36, koma selama dua bulan dan kemudian hilang upaya untuk bergerak seperti manusia normal yang lain.
Tuan Nor Azizah berkata, sejak hari itu dia hanya berkomunikasi menggunakan isyarat mata dengan Nik Muhammad Yusrizal.
“Dia akan kerdipkan mata sebagai tanda memahami apa yang saya sampaikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tuan Nor Azizah memberitahu, dia memerlukan perbelanjaan kira-kira RM2,000 sebulan untuk menguruskan anaknya itu.
Katanya, Nik Muhammad Yusrizal bergantung sepenuhnya kepada susu untuk meneruskan hidup yang merupakan sumber utama tenaganya.
“Satu tin susu yang bernilai RM85 itu hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja. Nik Muhammad Yusrizal perlu minum setiap empat jam sekali,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Tuan Nor Azizah 1530-1034-9681. – UTUSAN ONLINE










