Kerana harta, semua jadi buta hati - Utusan Malaysia

Kerana harta, semua jadi buta hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENTAHLAH, kadang-kadang sukar untuk memahami perangai abang dan kakak. Dulu, masa mak hidup lagi, tanah nun di hujung kampung hendak diberikan kepada kakak. Tapi kakak kata, tanah tu tidak boleh dikomersialkan.

Begitu juga dengan abang. Katanya, tanah yang sudah menjadi hutan belukar mana mungkin boleh dibangunkan. Masing-masing menolak.

Akhirnya mak menyerahkan tanah itu kepada aku tanpa pengetahuan kakak dan abang. Mak menasihatkan agar tanah itu jangan dijual. Kalau tak nak bangunkan sebagai tanah pertanian, buatlah rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aku akur. Bahkan tak kisah pun bila tanah rumah diberikan kepada kakak dan tanah di tepi jalan diberikan kepada abang. Sekurang-kurangnya ada juga bahagian aku, sekalipun pemberian itu belum lagi dibuat secara rasmi. Proses tukar nama tak dilakukan kerana bagi aku, selagi mak hidup, tanah itu kepunyaan mak.

Walaupun sedar aku bukanlah sehebat kakak dan abang yang punya pekerjaan tetap, namun ia bukan alasan untuk aku duduk diam. Sekalipun aku tidak pandai dalam pelajaran, tapi aku juga ada rasa tanggungjawab terhadap mak dan tidak mahu hidup berkongsi wang pencen ayah.

Aku ikuti pelbagai kursus pertanian. Tanah pemberian mak, aku usahakan. Dengan sedikit kemahiran, aku mulakan dengan menanam cili kaedah fertigasi. Alhamdulillah, berkat usaha dan dorongan daripada mak, tanaman cili menjadi. Lebih menyeronokkan, duit yang aku pinjam daripada mak untuk permulaan projek cili ini telah aku bayar sepenuhnya.

Tapi, saat aku mencapai kejayaan, mak meninggalkan kami. Dan bermulalah episod hitam dalam hidup aku.

Si kakak, apabila melihat hasil dari tanah yang aku usahakan, mula mengungkit-ungkit dan menuduh aku merampas tanah tersebut.

Si abang pula, sering kali mengatakan, duit keuntungan yang aku berikan, terlalu sedikit.

Sebagai adik bongsu, aku mengharapkan sokongan daripada kakak dan abang. Tapi ini pula yang berlaku. Status tanah? Entahlah, aku tak tahu apa yang harus aku lakukan.

Bagi aku, bila abang dan kakak sudah mendapat bahagian masing-masing, tanah yang aku usahakan ini sepatutnya tidak diungkit siapa yang lebih berhak.

Aku sedih, demikian kesudahan kami adik-beradik bila mak sudah tiada. Tanah sekangkang kera jadi rebutan.

Benarlah kata orang, manusia tidak pernah rasa cukup sampai bila-bila.

TIP KAUNSELOR

1. Mengurus harta yang dimiliki melalui pelbagai kaedah termasuk hibah diharuskan oleh Islam. Melalui kaedah itu, urusan harta yang ditinggalkan akan menjadi lebih mudah.

2. Setiap orang khususnya ibu bapa perlu mempunyai maklumat berhubung kaedah pengagihan harta mereka. Urusan pengagihan harta sebelum mati, boleh mengelakkan berlakunya perebutan harta dalam kalangan waris yang ditinggalkan.

3. Perlu difahami bahawa pemberian wasiat hanya boleh diberikan kepada orang yang tidak termasuk dalam senarai ahli waris. Bahkan, harta yang hendak diwariskan juga tidak melebihi 1/3 bahagian daripada harta yang ada.

Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan kepada orang yang berhak haknya, ketahuilah tiada wasiat kepada ahli waris.” – Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah. Hadis ini disifatkan sebagai sahih oleh Imam Tirmizi.

4. Sesuatu yang amat penting, setiap urusan pengagihan harta perlu dibuat secara bertulis dan didokumenkan agar ia tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari. Dokumen yang tidak bertulis boleh dicabar oleh ahli waris dan mahkamah berhak menolaknya.

PANDANGAN KAUNSELOR

Masalah berkaitan tuntutan harta pusaka bukan isu baharu. Bahkan sehingga 2014, jumlah harta alih yang tidak dituntut mencecah RM6.5 bilion.

Trend peratusan harta yang tidak dituntut ini meningkat mendadak pada 2011 dari dua peratus ke 24 peratus pada 2012. Data-data ini sekali gus membuktikan kejahilan berkaitan urusan tuntutan harta pusaka membuatkan jumlahnya semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Apa pun, isu berkaitan tuntutan harta pusaka ini berpunca daripada banyak sebab. Selain tidak faham prosedur yang perlu dibuat di pejabat tanah, atau mungkin waris tidak dapat dihubungi, masalah waris yang lepas tangan juga adalah faktor mengapa harta tidak alih ini tidak dapat dibahagi-bahagikan.

Justeru, merujuk kepada cerita di atas, jika si kakak dan si abang mengambil keputusan untuk tidak memberikan kerjasama memindahkan pemilikan tanah yang diusahakan kepada si adik, maka urusan tuntutan harta ini tidak akan dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah.

Perlu difahami, dalam urusan pengagihan harta milik ibu bapa, ia boleh diberikan melalui pelbagai cara. Selain mengikut kaedah pembahagian faraid setelah ibu bapa meninggal, harta juga boleh dibahagikan lebih awal melalui kaedah hibah.

Kaedah hibah lebih digalakkan untuk beberapa keadaan termasuklah ibu bapa yang mempunyai anak perempuan sahaja atau anak perempuan dan lelaki. Begitu juga sekiranya pasangan tersebut mempunyai anak kurang upaya, masih mempunyai ibu bapa, pasangan yang berpoligami dan sebagainya.

Hal ini termasuk juga bagi ibu bapa yang mahu membahagikan anak-anak mereka harta yang sama banyak, maka konsep hibah digalakkan.

Berbanding dengan faraid, ada bahagian-bahagian tertentu untuk anak-anak lelaki dan perempuan serta waris-waris yang ditinggalkan sebagaimana yang disebut dalam ayat 7, 11, 12 dan 176 Surah al-Nisa.

Oleh itu, berbalik semula kepada kes di atas, jika si ibu telah memberikan bahagian tanah kepada kakak dan abang, ibu juga seharusnya memindah milik harta kepunyaannya kepada adik sekalipun adik itu menolaknya. Ini penting supaya setiap adik-beradik mendapat bahagian masing-masing secara adil. Bahkan ia mampu mengelak daripada berlakunya pergaduhan antara adik-beradik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini