KUCHING – Kerajaan mengunjurkan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) RM21 bilion setahun berbanding RM43 bilion kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.
Beliau berkata, pengurangan kutipan cukai itu akan meningkatkan kuasa membeli pengguna dan membantu meningkatkan perniagaan runcit yang menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya komuniti peniaga berusaha meletakkan harga yang rendah, dengan kadar keuntungan yang sederhana dan dalam masa yang sama membesarkan perniagaan masing-masing.
Chieng Jen bagaimanapun mengaku bahawa masih ada kedai yang menjual stok barang lama dengan harga yang tinggi, tetapi menambah bahawa di bawah SST sebanyak 5,300 jenis barang dikecualikan daripada cukai berbanding hanya 500 jenis barangan di bawah GST.
“Senarai (barangan yang dikecualikan daripada cukai SST) masih akan bertambah mengikut keperluan semasa,” katanya. – Bernama










