KUALA LUMPUR 27 Oct. – Kerajaan akan terus menumpukan usaha membangunkan ekonomi negara secara inklusif supaya angka peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dilaporkan setiap tahun turut dirasai rakyat terbanyak.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, ia selaras dengan hasrat yang dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Kata beliau, kiraan KDNK mempunyai peranannya tersendiri namun persoalan yang lebih perlu diberi tumpuan ialah kesejahteraan rakyat.
“Perdana Menteri sangat memberi perhatian kepada keinklusifan. Beliau sering berkata, kita bercakap tentang peningkatan KDNK enam peratus dan sebagainya, tetapi ia tidak dirasai rakyat.
“Ya kita boleh gunakan KDNK untuk membuat perbandingan tahun ke tahun, atau perbandingan antara negara, namun soal yang lebih penting ialah kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Ekonomi Belia 2018 di Suruhanjaya Sekuriti, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










