KUALA LUMPUR 22 Okt.- Kerajaan tidak mempunyai sebarang pendirian dan dasar untuk menghapuskan perkhidmatan e-hailing di negara ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, perkhidmatan Grab dan Uber mempunyai peranan tersendiri dalam mengisi perkhidmatan yang tidak mampu diisi oleh pengangkutan awam yang lain dan digunakan di seluruh dunia.
“Pada dasarnya kita tidak boleh hapuskan Grab dan Uber tetapi adalah untuk menyamaratakan peluang-peluang perniagaan oleh pengusaha teksi dan e-hailing ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu, jelas Kamarudin, Kementerian Pengangkutan telah membuat keputusan sebelum ini supaya syarat-syarat yang dikenakan bagi pengendali sistem e-hailing mestilah sama dengan syarat dikenakan kepada syarikat-syarikat teksi.
“Ini bermakna pengusaha e-hailing tidak ada satu kelebihan untuk mereka menjalankan perniagaan.
“Cuma masalahnya kini syarat terhadap e-hailing itu sedang dilaksanakan secara berperingkat dan kementerian telah memberikan tempoh selama enam bulan bermula 1 Januari 2019 untuk semua syarat tersebut dipenuhi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










