KUALA LUMPUR 30 Okt. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa kerajaan negeri menghantar senarai individu yang layak menerima rumah mampu milik di samping senarai tapak tanah untuk projek terbabit.
Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan golongan sasaran menerima manfaat berkenaan, sekali gus dapat membantu meringankan bebanan mereka.
Selain itu, beliau mahu kerajaan negeri lebih telus tanpa ada unsur diskriminasi dalam pemberian rumah mampu milik pada masa akan datang.
“Kita memerlukan sistem yang lebih telus kerana difahamkan ada yang menerima untuk kali kedua di bawah skim rumah mampu milik. Jadi matlamat tidak sampai nanti ,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) serta TS Asia Ventures Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut menggesa kerajaan negeri menyediakan tapak tanah untuk membolehkan lebih banyak rumah mampu milik dapat disediakan oleh kerajaan pusat untuk rakyat.-UTUSAN ONLINE.










