Kerajaan negeri masih yakin penyaluran royalti tidak terjejas - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri masih yakin penyaluran royalti tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 25 Okt. – Kerajaan negeri yang yakin pemberian royalti petroleum akan terus disalurkan oleh kerajaan Pusat mengikut jadual, akan tetap memasukkan penerimaan wang sumber hasil itu sebagai hasil negeri dalam pembentangan Bajet 2019 November depan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan pihaknya berpegang kepada janji Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk tidak menganaktirikan negeri pembangkang dan sumber pergantungan utama itu akan disalurkan terus kepada akaun negeri, justeru tiada sebab untuk tidak berbuat demkian.

“Perdana Menteri telah berjanji untuk terus memperkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, dan dalam usaha itu, ada beberapa perjanjian telah dibuat.

“Dalam aspek ini, wujud perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan dan Petronas, maka saya percaya royalti adalah wajar diterima oleh kerajaan negeri.

“Kita mempunyai aturan perbelanjaan yang ketat, tidak ada sebab untuk tidak memasukkannya ke dalam Bajet 2019,” katanya kepadai pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Terengganu 2018 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri menjelaskan, secara dasarnya Terengganu menerima wang royalti itu dalam dua peringkat iaitu pada Mac lalu berjumlah lebih RM600 juta (peringkat pertama).

“Peringkat kedua pula ialah September lalu, sebanyak RM300 juta, iaitu hanya sebahagian daripada jumlah yang sepatutnya diterima, jadi kita berharap ia dapat dihantar beberapa segera yang boleh,” katanya.

Beliau menjelaskan, jumlah yang masih belum diterima ialah RM500 juta dan perlu dibayar kepada negeri ini dalam tempoh sehingga Februari kerana terimaan seterusnya ialah pada Mac 2019. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN