KANGAR – Keputusan laporan toksikologi melibatkan tiga mangsa lemas yang ditemui di Sungai Arau pada Khamis minggu lalu hanya dapat diketahui dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, sampel darah suspek juga telah diambil untuk ujian yang sama.
“Setakat ini, suspek ditahan di wad hospital kerana komplikasi darah tinggi.
“Sambungan reman ditolak oleh Majistret kerana faktor kesihatan namun, suspek akan dipanggil semula untuk memberi keterangan sebaik sahaja sembuh dan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Analisis laporan toksikologi ialah untuk pengesanan racun bagi tujuan penguatkuasaan dan juga kes-kes jenayah.
Kosmo! melaporkan pada Jumaat minggu lalu, polis berjaya mendapatkan perintah reman terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun bagi membantu siasatan kes mati lemas melibatkan tiga sekeluarga di Sungai Arau pada Khamis minggu lalu.
Ketiga-tiga mangsa itu ialah Baharom Ahmad, 66, dan isteri, Norma Pin, 64, dan anak perempuan mereka iaitu Norazalina, 35,.
Mereka dipercayai meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan akibat bebanan hutang.
Bagaimanapun, anak lelaki mereka iaitu Mohd. Zali, 37, yang merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana mempunyai masalah pembelajaran berubah fikiran untuk membunuh diri selepas ketakutan apabila melihat ibu, bapa dan adiknya terjun ke sungai berkenaan serta mati lemas setelah dihanyutkan arus. – K! ONLINE











