Keputusan Ketua Menteri Sabah ditetapkan 7 November - Utusan Malaysia

Keputusan Ketua Menteri Sabah ditetapkan 7 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 November depan sebagai tarikh keputusan bagi penentuan jawatan Ketua Menteri Sabah yang sah.

Keputusan tersebut dibuat selepas Hakim Datuk Yew Jen Kin mendengar hujah-hujah daripada barisan peguam terlibat.

Pada prosiding yang berlangsung selama lima jam itu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman diwakili Tengku Fuad Ahmad dan S. Vanugopal manakala Datuk Douglas Lind pula mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal.

Sementara itu Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin mewakili Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Berdasarkan hujahan Tengku Fuad, pelantikan Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri di hadapan Tun Juhar pada 12 Mei lalu disifatkan tidak wajar kerana dalam tempoh itu Musa belum meletakkan jawatan tersebut yang disandangnya pada 10 Mei lalu.

Tindakan Tun Juhar tersebut didakwa di luar bidang kuasa beliau.

Bagaimanapun, menurut hujah Zaleha pelantikan Mohd. Shafie oleh Tun Juhar adalah mengikut Artikel 7(1) Perlembagaan Negeri yang menyatakan apabila Ketua Menteri tidak memperoleh majoriti penuh dan tidak mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) maka terpaksa berundur selain membubarkan dewan.

Sementara itu, Douglas pula berhujah Mohd. Shafie layak dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah selepas enam ADUN daripada Barisan Nasional (BN) Sabah menyertai Pakatan Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Tindakan enam ADUN terbabit sekali gus menjadikan jumlah kerusi Pakatan Warisan-PKR dan DAP bertambah kepada 35 kerusi berbanding 29 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pada Jun lalu, Musa memfailkan saman bersama afidavit terhadap Tun Juhar dan Mohd. Shafie menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co.

Saman berkenaan adalah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah mengikut peruntukkan undang-undang bukannya Mohd. Shafie.

Selain itu mendakwa angkat sumpah Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah dihadapan Tun Juhar pada 12 Mei lalu adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN