KUALA LUMPUR 25 Okt. – Tujuh Pelan Hala Tuju Baharu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan dibentang selepas Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018, bulan depan.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pelan yang bermatlamat menggalakkan pembangunan agro makanan negara kini sudah 90 peratus siap.
“Pelan itu penting kerana dapat menterjemahkan visi dan misi Dasar Agro Makanan Negara, selain menampilkan tindakan supaya semua perancangan kementerian sampai ke kumpulan sasaran.
“Kita kini di peringkat akhir dan 90 peratus siap untuk dilancarkan yang sekali gus memberi faedah besar kepada bidang agro makanan, termasuk berkaitan dua visi utama disasarkan kementerian, iaitu memastikan kecukupan dan keselamatan produk makanan serta membantu meningkatkan pendapatan petani,” katanya selepas merasmikan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42 dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Naib Canselor UPM Prof. Datuk Dr. Aini Ideris dan Ketua Pengarah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Jamal Harizan Yang Razali.
Pada majlis tersebut, UPM turut melancarkan hasil inovasi terbaharu iaitu Nanoemulsi Sapputra yang merupakan produk mengawal serangan siput gondang. – UTUSAN ONLINE











