IPOH – Kementerian Kesihatan akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha restoran dalam masa terdekat bagi membincangkan isu sudut khas buat perokok.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, beliau bagaimanapun berpendapat sudut khas buat perokok itu tidak perlu diwujudkan bagi menjaga kepentingan awam terutamanya berkaitan kesihatan.
“Kementerian akan terus berbincang dengan pengusaha-pengusaha restoran mengenai hasrat kementerian untuk melarang perokok merokok di restoran bagi menjaga kesihatan rakyat semua.
“Namun pada pandangan saya, sudut merokok di restoran ini saya tidak galakkan. Lebih baik kita larang terus kawasan merokok di semua restoran bagi mengutamakan hak individu yang tidak merokok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas cadangan beberapa pengusaha yang mahu menyediakan ruang khas merokok, selepas merasmikan Program Gotong-royong Membasmi Denggi di Padang Medan Pengkalan Mutiara di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan sebelum ini mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis di seluruh negara termasuk warung di tepi jalan berkuat kuasa 1 Januari depan dan tindakan akan terus diambil terhadap perokok sekiranya ingkar pada arahan tersebut. – K! ONLINE










