PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) diingatkan tidak terlalu yakin untuk menang dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson kerana kemenangan di kawasan ini didakwa akan ditentukan oleh kumpulan pengundi tempatan digelar YY Connection.
Pentadbir YY Connection, Kapten (B) Loo Choon Chew, 60, mendakwa kumpulan yang dianggotai kira-kira 10,000 orang terdiri daripada pelbagai latar kerjaya seperti peguam, jurutera, pesara anggota keselamatan, pemimpin masyarakat dan nelayan bakal menjadi penentu kemenangan calon di Port Dickson.
“Di Port Dickson ada satu pertubuhan tidak rasmi digelar YY Connection. Kumpulan ini memiliki kira-kira 10,000 undi yang akan menentukan kemenangan salah seorang daripada tujuh calon yang bertanding pada PRK Port Dickson.
“Berdasarkan pandangan peribadi, saya cukup yakin akan berlaku kejutan pada PRK ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
PRK Port Dickson menyaksikan calon PH diwakili Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar, serta lima calon bebas iaitu Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen.
Dakwa Choon Chew lagi, YY Connection ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang bertujuan membantu kemenangan bekas Ahli Parlimen Port Dickson dari PKR, Datuk Danyal Balagopal Abdullah. Namun, kecewa selepas Danyal mengundur diri untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu.
Mengulas lanjut mengenai PRK Port Dickson, beliau meramalkan peratusan keluar mengundi pada 13 Oktober ini tidak lebih daripada 38 peratus.
“Kalau peratusan keluar mengundi serendah itu sahaja, Anwar diramalkan tidak dapat lebih daripada 14,000 undi dan jika YY Connection membatu Mohd. Isa kali ini, Anwar tidak akan menang,” katanya. – K! ONLINE










