Kembara Orkes rancakkan muzik band underground - Utusan Malaysia

Kembara Orkes rancakkan muzik band underground

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Sebanyak enam negeri menjadi pilihan Kembara Orkes dalam merancakkan gerakan muzik underground tanah air.

Kembara berkenaan diterajui kumpulan Orkes A. Hizadin bermula sejak 31 September lalu di Johor. Ia bakal melabuhkan tirai pada hujung November depan di Kuala Lumpur.

Antara kumpulan yang terlibat dalam kembara berkenaan termasuk CORA, Mad & Rissa, Budak Nakal Hujung Simpang, Wickweaky, Radiowave, Shunna, Paperlains, SATWO dan Classmate.

Pemain gitar Orkes A. Hizadin, Mohammad Shafry Mohamad yang dikenali sebagai Ully berkata, kembara itu diiringi oleh dua kumpulan underground dari ibu kota dan menjemput beberapa band di setiap negeri.

“Kembara Orkes ini telah berlangsung sejak 31 September di Johor diikuti Perak dan Melaka sebelum kami meneruskan persembahan di Pahang, Pulau Pinang dan penutup di Kuala Lumpur.

“Objektif utama kembara ini diadakan bagi merancakkan lagi scene underground selepas beberapa konsert oleh rakan seperjuangan termasuk Hujan X Masdo,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, setakat ini penganjuran kembara mini itu menerima sambutan menggalakkan daripada peminat muzik underground dengan jumlah kemasukan mencecah 500 orang.

Katanya, kembara itu juga mengekalkan suasana dan harga tiket seperti gig biasa iaitu sekitar RM10 sehingga RM15 setiap orang.

Mengulas lanjut, Ully berkata, Kembara Orkes juga diadakan bagi mempromosikan album dan band Orkes A. Hizadin yang dianggotai oleh Amirudin Hizadin (vokalis), Muhammad Syahid Kamarul Zaman (gitar),  Mohamad Nashreeq Mohd. Nor (bass) dan Mohd. Saufi Abdul Ghafar (pemain drum).

“Album sulung Orkes A. Hizadin ini mengandungi lima lagu yang direkodkan di bawah Kamar Seni Studio dengan AG Coco selaku produser kami.

“Kebanyakan lagu dihasilkan berkisarkan tentang cabaran yang terpaksa dilalui oleh anak-anak muda untuk membina kehidupan pada masa ini,” katanya.

Keterangan lanjut mengenai Kembara Orkes boleh didapati dengan melayari laman sosial Instagram dan Facebook orkesahizadin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN