Kembalikan semangat bahasa jiwa bangsa - Utusan Malaysia

Kembalikan semangat bahasa jiwa bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh bahasa iaitu, “Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.”

Jadi kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipersoalkan lagi dan semua pihak perlu menjaga dan memelihara kedudukan ini. Justeru sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) marilah kita sama-sama bermuhasabah tentang nasib dan masa depan Bahasa Kebangsaan ini.

Sememangnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah terpateri kemas dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang mana Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Persekutuan yang diterjemahkan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 . Kedua-duanya memperuntukkan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, apa yang menyedihkan kita ialah roh dan semangat yang dibawa oleh Perkara 152 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 ini tidak dihayati sepenuhnya dan seolah-olah sengaja dilupakan dan tidak dipedulikan oleh segelintir rakyat kita sendiri.

Kita juga perlu ingat bahawa bukan mudah status bahasa kebangsaan ini diberikan. Ia telah dibincangkan, dibahas dan akhirnya telah pun dipersetujui oleh semua pihak terutamanya semua pemimpin politik yang mewakili semua kaum utama di negara ini semasa perlembagaan itu digubal dan diluluskan.

Maka tidak sewajarnya timbul soal Bahasa Melayu dipinggirkan ataupun dikesampingkan dalam semua urusan baik yang rasmi atau tidak rasmi. Sepatutnya juga tidak perlu timbul isu keperluan untuk memperjuangkan bahasa ini kerana secara hakikinya bahasa ini wajib didaulatkan dan dimuliakan oleh semua pihak terutamanya setiap warga negara ini.

Namun adakah perkara itu benar-benar berlaku? Rasanya tidak perlu lagilah kita menuding jari menyalahkan orang politik mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kesedaran untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan perlu berputik dalam jiwa setiap seorang daripada kita jika mahu bahasa ini terus mekar dan subur. Persoalannya ke mana hilang semangat bahasa jiwa bangsa?

Kita juga perlu bersatu dalam satu bahasa supaya komunikasi dan perhubungan antara kaum dapat dipereratkan serta dimantapkan dan seterusnya boleh mengelakkan segala rasa curiga, prejudis dan prasangka buruk sesama kita. Namun, kita khuatir perkara itu tidak berlaku sepenuhnya sekarang.

Ini kerana masyarakat kita sememangnya sudah pun terpisah antara satu sama lain dengan pelbagai budaya yang diamalkan oleh kaum masing-masing, justeru di sinilah peranan Bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa perantaraan antara mereka.

Seperkara lagi, kita perlu terima kenyataan bahawa walaupun sudah 61 tahun merdeka, namun masih terdapat rakyat kita yang tidak fasih berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Ini adalah satu senario yang cukup menyedihkan. Keadaan ini dapat dielakkan jika kita memberi penekanan yang sewajarnya dalam aspek pemahaman dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah terutamanya di sekolah jenis kebangsaan yang banyak mengutamakan bahasa ibunda masing-masing.

Realitinya kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Melihat senario semasa dalam kalangan masyarakat ternyata pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Tamil dan Cina dilihat masih belum mantap.

Akibatnya bahasa rojak terus menjadi amalan harian mereka apatah lagi di rumah mengamalkan bahasa ibunda sendiri. Jika ini dibiarkan berlarutan maka seluruh generasi mereka juga akan terbawa-bawa dengan bahasa rojak tersebut.

Maka besarlah harapan kita agar dalam era Malaysia Baharu ini rakyat kita terutamanya kaum Cina dan India akan memandang serius isu ini dan mengambil kira keperluan untuk memantapkan kemahiran komunikasi dalam Bahasa Kebangsaan terutamanya dalam kalangan anak mereka.

Terimalah hakikat bahawa Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu semata-mata tetapi ia adalah bahasa kebangsaan miliki kita semua. Maka jadikanlah Bahasa Melayu sebagai jambatan perpaduan utama yang merapatkan silaturahim antara kaum di negara kita.

Untuk itu, semua pihak yang terlibat baik pembuat dasar, pelaksana mahupun organisasi dan individu seperti DBP, penjawat awam, pihak korporat, orang Melayu sendiri serta masyarakat secara keseluruhannya perlu berganding bahu agar sama-sama dapat membantu membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa supaya citra Bahasa Kebangsaan terus dapat dimartabatkan.

Bertindaklah sebelum terlambat atau sebelum nasi menjadi bubur. Jangan sudah kecurian, baru mengunci pintu.

Sama-samalah kita bermuhasabah dan renung-renungkan perkara ini demi survival Bahasa Melayu yang akan menelusuri kegemilangan bangsa dan negara ini.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini