KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan membawa masuk ahli-ahli UMNO ke dalam partinya itu tidak melibatkan unsur-unsur rasuah dan politik wang.
“Jika anda mendapati berlaku rasuah, anda boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa, dan tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Antirasuah 2018 di sini hari ini.
Kata Perdana Menteri, kemasukan ahli UMNO ke dalam Bersatu terutamanya yang berstatus Ahli Parlimen perlu mengikut syarat yang ditetap iaitu perlu keluar daripada UMNO dan mengisytihar diri sebagai Ahli Parlimen Bebas, sebelum boleh memohon untuk menyertai Bersatu.
“Contohnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ahli Parlimen Jeli). Beliau menjadi Ahli Parlimen Bebas untuk tempoh masa tertentu sebelum permohoman beliau masuk Bersatu diluluskan,” katanya.
Ditanya adakah rundingan ‘bawah meja’ diadakan dengan ahli-ahli UMNO untuk membawa mereka menyertai Bersatu, Dr. Mahathir hanya berkata, partinya tidak mengadakan perjanjian dengan ‘penjenayah’.-UTUSAN ONLINE










