KUALA TERENGGANU 16 Okt. – Kem Pengukuhan Bahasa Inggeris yang ditunjangi oleh ExxonMobil sebagai salah satu pendekatan membantu meningkatkan penguasaan para pelajar di negeri ini dalam berkomunikasi diteruskan lagi baru-baru ini dengan penyertaan 200 pelajar dariada 14 buah sekolah menengah terpilih.
Berlangsung selama tiga hari di sebuah hotel di sini, program tradisi tahunan yang dirintis pada tahun 2014 itu dicorakkan dalam suasana meriangkan, santai dalam persekitaran yang kondusif bagi para pelajar berusaha memahirkan diri.
Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Sukiman Mohamed menegaskan, melalui inisiatif ini, dapat merangsang suasana untuk berbahasa Inggeris di luar bilik darjah dan meningkatkan keyakinan dalam mempraktikkannya.
“Saya telah menyaksikan sendiri betapa besar cabaran yang perlu dihadapi untuk mengurangkan belenggu agar mereka dan juga masyarakat dapat membiasakan diri berkomunikasi dengan baik,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam majlis perasmian kem berkenaan yang disempurnakan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir. Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Husssin.
Program tahunan itu dijayakan bersama Jabatan Pendidikan negeri dan Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fulbright (ETAs) yang ditempatkan di negeri ini selama 10 bulan.
Seramai 13 ETAs di negeri ini bersama dua lagi dari Pahang dan Kelantan turut terlibat dalam pengendalian program yang bertemakan “Your Language, My Culture: Smile Always”.
Sementara itu, Shafruddin berkata, inisiatif ExxonMobil yang membabitkan ETAs dari Amerika Syarikat dilihat berjaya meningkatkan penguasaan komunikasi dalam kalangan pelajar yang terlibat.
Shafruddin berkata, kaedah pembelajaran oleh ETAs itu menjadikan proses pembelajaran lebih mudah difahami dan menyeronokkan melalui penganjuran kem di luar bilik darjah yang bercorak interaktif.
Beliau memberi contoh kejayaan tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut menjuarai pertandingan Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Gyeongju, Korea Selatan pada Mei lalu, yang mengakui mereka semakin mahir berbahasa Inggeris melalui program ETAs. – UTUSAN ONLINE










