DUNGUN – Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 340, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Paka dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, mangsa warga Kemboja, Ya Dara, 38, disahkan maut di lokasi nahas akibat parah pada kepala dan anggota badan kerana tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, nahas berlaku membabitkan sebuah lori treler, lori satu tan yang membawa muatan ikan termasuk sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Menurut Baharudin, ketika kejadian, mangsa bersama pemandu lori terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kuantan, Pahang dengan membawa muatan kira-kira 1,000 ekor ikan keli sementara treler yang membawa muatan bijih besi itu menuju ke Kemaman dari Bukit Besi, Dungun.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu lori ikan terbabit dikatakan gagal mengelak treler berkenaan lalu merempuh bahagian belakang sebelah kanan kenderaan berat itu sehingga menyebabkan mangsa tersepit.
“Pada masa sama, sebuah Toyota Hilux dinaiki tiga beranak yang tidak sempat mengelak kemalangan itu turut melanggar belakang lori tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Jelas Baharudin, akibat perlanggaran itu, muatan ikan keli yang dibawa lori berkenaan telah bertaburan di atas lebuh raya. – K! ONLINE










