Kedudukan komponen diambil kira dalam penjenamaan semula BN - Utusan Malaysia

Kedudukan komponen diambil kira dalam penjenamaan semula BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 27 Okt. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjenamaan semula Barisan Nasional (BN) akan turut mengambil kira kedudukan parti gabungan dan parti lain yang ingin menyertai BN.

Pengerusi BN berkata, sehubungan itu, parti komponen BN akan berbincang bagi mempertimbangkan permohonan tiga parti iaitu Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Makkal Sakti dan Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) untuk menjadi parti komponen.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan perlembagaan BN perlu diubah bagi membolehkan penyertaan parti berkenaan.

“Permintaan Kimma untuk menjadi parti komponen BN adalah sama dengan nada Makkal Sakti dan IPF. Kita akan bincangkan dengan parti komponen BN dan mengikut suara majoriti,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Kimma Ke-41 di Nilai, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader; Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan dan Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R. S. Thanentiran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kimma menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada UMNO dan BN walaupun selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Semangat ini yang harus ada pada kita. Jangan kita berkawan ketika kawan ada kuasa, apabila tiada kuasa ditinggalkan. Kita kena berkawan bukan saja semasa senang tetapi juga susah,” katanya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, beliau berharap usul untuk memperuntukkan parti itu dua kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Unda­ngan Negeri dalam PRU-15 akan dipertimbangkan BN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN