RATU terjun negara, Pandelela Rinong serta atlet hoki kebangsaan, Mohammad Fitri Saari bakal menerima ijazah masing-masing pada majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur Selasa ini.
Pandelela, 25, yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Sains Pengurusan Sukan selepas lebih lima tahun bergelut dengan bidang akademik serta kariernya sebagai atlet.
Atlet kelahiran Kampung Jugan, Bau, Sarawak itu meluahkan kegembiraannya apabila bakal menggenggam segulung ijazah selepas memulakan pengajiannya pada September 2012.
“Saya sangat gembira dengan pencapaian ini dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya pensyarah, jurulatih serta rakan-rakan yang banyak membantu serta memberi dorongan dalam setiap mata pelajaran.
“Sebenarnya bukan mudah untuk saya kerana perlu membahagikan masa antara pelajaran dan karier sukan. Di samping belajar, saya juga perlu melakukan persiapan bagi menghadapi pelbagai kejohanan yang disertai,” kata Pandelela.
Dalam pada itu, Fitri, 25, mengakui sedikit terkilan apabila tidak dapat mengikuti skuad negara ke Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman yang membuka tirai kelmarin kerana perlu menghadiri majlis konvokesyen berkenaan.
Bagaimanapun, Fitri yang juga bakal menerima ijazah Sains Pengurusan Sukan memberitahu, walaupun terkilan, namun dia perlu menghadirkan diri pada majlis tersebut sebagai tanda bersyukur atas penat lelah selama ini.
“Bukan mudah untuk membuat keputusan, tetapi saya memilih untuk hadir ke majlis tersebut kerana ia bukanlah acara yang boleh disertai setiap hari. Selain itu, saya mahu raikannya selepas berkorban untuk menghabiskan pengajian ini,” ujarnya.
Selain Pandelela dan Fitri, dua lagi atlet negara akan menerima ijazah masing-masing, iaitu atlet taekwondo, Ryan Chong Wy Lunn serta pemain futsal wanita kebangsaan, Nurul Atiqah Zaifulizan.










