KUALA LUMPUR 21 Okt. – Kebenaran mengenai janji palsu Pakatan Harapan kepada pemandu teksi seluruh negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akhirnya terjawab pagi ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata demikian di laman Facebook miliknya dipercayai merujuk kepada insiden kekecohan yang terjadi dalam perjumpaan antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan pemandu teksi di Langkawi pagi ini.
“Seperti yang saya nyatakan minggu lepas, janji palsu tersebar di kalangan pemandu-pemandu teksi sebelum PRU-14 bahawa Pakatan Harapan akan haramkan Uber dan Grab bila mereka berkuasa adalah antara punca utama pemandu-pemandu teksi menolak dan memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah banyak menolong mereka.
“Selain janji palsu, turut tersebar kononnya isteri saya adalah pemilik Grab menambah kebencian mereka.
“Kebenaran akhirnya muncul pagi ini,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini. – UTUSAN ONLINE










