LONDON 28 Okt. – Penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas mendapat tahu mengenai helikopter pemilik kelab, Vichai Srivaddhanaprabha terhempas di luar Stadium King Power semalam.
Seorang saksi memberitahu saluran berita BBC, pemain Denmark itu terkejut, terdiam serta menangis sebaik sahaja tiba di lokasi kemalangan ketika cuba mendekati helikopter yang jatuh di atas deretan kereta.
BBC yang memetik sumber keluarga Vichai melaporkan, hartawan Thailand itu berada di atas helikopter tersebut ketika ia terhempas.
Anak perempuannya, Voramas Raksriaksorn bersama dua juruterbang dan seorang lagi individu tidak dikenali juga dikatakan berada dalam helikopter malang itu.
Mereka meninggalkan stadium selepas menonton aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham yang berkesudahan seri 1-1.
Seorang saksi memberitahu Sky News: “Saya melihat Kasper berlari, sebelum ditenangkan oleh anggota keselamatan dan steward stadium.
“Saya berdiri di luar stadium ketika kejadian berlaku tetapi helikopter itu jatuh di bahagian lain. Harap semuanya selamat”.
Schmeichel, 31, yang menyarung jersi Leicester sejak 2011 menyertai orang ramai yang berkumpul di luar stadium untuk mendapatkan perkembangan, dan tidak berganjak meskipun selepas beberapa jam perlawanan berakhir.
Bagaimanapun, tiada wakil kelab mahupun syarikat milik Vichai, King Power International mengesahkan mengenai identiti mangsa terkorban.
Sumber dalaman Leicester hanya memberitahu Sky News bahawa anak lelaki Vichai yang juga naib pengerusi kelab, Aiyawatt tiada dalam helikopter itu. – AGENSI










