LIVERPOOL 26 Okt. – Kapten Cardiff City, Sean Morrison mencetuskan kemarahan penyokong Bluebird apabila menyokong Liverpool untuk merangkul Liga Perdana Inggeris musim ini, sehari sebelum kedua-dua pasukan berentap di Anfield esok.
Liverpool berkongsi 23 mata bersama pendahulu, Manchester City selepas tamat sembilan perlawanan. Mereka masih gagal merangkul kejuaraan ke-19 sejak kali terakhir muncul juara pada 1990.
Cardiff yang dimiliki hartawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan mencatat kemenangan pertamanya musim ini dengan menumpaskan Fulham 4-2, minggu lalu.
Bagaimanapun mereka berdepan cabaran getir untuk meneruskan momentum kerana perlu menentang pasukan yang belum kalah musim ini.
“Ia sukar dijangka tetapi saya gembira jika Liverpool memenanginya.
“Saya mahu melihat Liverpool menjulang kejuaraan kerana ia adalah perkara hebat buat kelab besar seperti mereka untuk merangkul Liga Perdana.
“Liverpool kelab terkenal yang sarat dengan sejarah, namun mereka perlu bekerja keras untuk mengalahkan Manchester City.
“Harap perebutan gelaran akan berlangsung sengit. Ia pasti menyeronokkan buat peminat bola sepak,” katanya kepada Sky Sports.
Kenyataan Morrison mengundang kritikan di media sosial.
Pemilik akaun GoaIKepa dalam Twitter menulis: “Timbul keraguan kerana Cardiff perlu bertemu Liverpool dua kali musim ini”.
“Daripada segi persaingan, pemikiran seperti ini sangat teruk, namun apabila anda bercakap secara terbuka, ia tidak boleh diterima,” tulis Kypros13.
Sementara itu, jurulatih Cardiff, Neil Warnock mengakui, pasukannya berdepan misi ‘hampir mustahil’ untuk mengalahkan Liverpool di Anfield.
“Kami perlu memberi 100 peratus untuk mencabar Liverool tetapi saya fikir tiga penyerang mereka (Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane) antara yang terbaik di dunia,” katanya. – AGENSI










