Kapten bola jaring kebangsaan terima anugerah utama UPM - Utusan Malaysia

Kapten bola jaring kebangsaan terima anugerah utama UPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Okt.-Kapten bola jaring kebangsaan yang menyumbang emas pada Sukan SEA 2017, Nur Syafazliyana Mohd. Ali antara 11 penerima anugerah utama sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-42 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 27 Oktober ini.

Nur Syafazliyana, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Jasmani) itu bakal menerima Pingat Razlan Putra manakala seorang lagi atlet kebangsaan dalam acara lawan pedang, Ivy Cheah turut mencatat kecemerlangan apabila terpilih menerima Pingat Emas Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Rashdan Baba.

Ivy, 24, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Dietetik.

Senarai nama kesemua sebelas penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-42 itu diumumkan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, seramai 6,973 graduan daripada pelbagai program pengajian bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis yang bakal berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

“Daripada jumlah itu, 630 orang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (1,751), ijazah sarjana muda (3,970) dan diploma (622).

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM akan berkenan mengurniakan PhD, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma kepada graduan pada hari pertama konvokesyen iaitu pada Sabtu,” katanya.

Sultan Sharafuddin juga ber­kenan mengurniakan Hadiah Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Pelajaran Diraja (bumiputera), Pingat Emas Alumni dan Pingat Emas Prof. Emeritus, Tan Sri Dr. Rashdan Baba, Pingat Emas Pelajaran Diraja (bukan bumiputera), Pingat Emas Yayasan Pak Rashid dan Anugerah Keusahawanan Siswa UPM.

“Baginda juga akan menyampaikan Pingat Putra Agribio, Pingat Emas Doktor Falsafah, Pingat Emas Master Dengan Tesis dan Hadiah Syed Kechik,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN