KUALA TERENGGANU 20 Okt. – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun lemas di Sungai Pulau Wan Man berhampiran Taman Tamadun Islam (TTI), di sini petang ini.
Mayat Muhammad Rayyan Adam Mohd. Rosnan dari Kampung Losong Pasir ditemukan oleh pasukan penyelamat pada pukul 3.15 petang, di dasar sungai kira-kira 10 meter dari lokasi mandi.
Mangsa yang bersama dua rakannya mandi di sungai tersebut kira-kira pukul 2 petang, dikatakan kakinya terlekat dalam lumpur di dasar sungai sebelum tenggelam.
Rakannya kemudian bergegas pulang melaporkan kejadian itu kepada keluarga Muhammad Rayyan Adam.
Mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berpindah ke kediaman keluarga ibunya selepas ayahnya meninggal dunia pada April lalu akibat penyakit paru-paru berair.
Bomba dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu tiba di lokasi kejadian kira kira pukul 3 petang dan mayat mangsa ditemukan selepas 15 minit operasi mencari dan menyelamat digerakkan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE










