AUSTIN 22 Okt. – Lewis Hamilton berkata, Mercedes menjadikan perlumbaan lebih sukar selepas terlalu berhati-hati ketika menyusun strategi pada Grand Prix Formula Satu (F1) Amerika Syarikat, hari ini.
Pemandu Britain, 33, yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan terlepas peluang merangkul gelaran dunia kelima berkata kepada pemberita, dia terkejut apabila diarah melakukan hentian pit lebih awal bagi memanfaatkan kesempatan terhadap campur tangan Virtual Safety Car sewaktu pusingan ke-11.
“Ia agak mengejutkan. Sebaik kami melakukan hentian pit di pusingan ke-11, saya sedar yang saya perlu lakukan dua lagi hentian pit. Kami hanya menyusahkan diri sendiri. Sewaktu saya keluar, saya berjaya mengejar Kimi, tetapi tayar saya bermasalah.
“Selepas itu, dia melakukan hentian pit dan berjaya mengejar saya dengan tayar baharu. Sebaik selesai melakukan hentian pit terakhir, saya ketinggalan 12 saat di belakang.
“Keadaan tersebut menjadikan perlumbaan sangat sukar untuk kami terus bersaing, hari ini,” kata pelumba Mercedes itu selepas menamatkan aksinya di belakang pemenang, Kimi Raikkonen dari Ferrari dan pemandu Red Bull, Max Verstappen.
Tambahnya, dia juga tidak pasti sama ada dia memulakan perlumbaan dengan menggunakan tayar terbaik.
“Saya mula berasakan sejak kelayakan kedua lagi, kami memilih tayar yang salah. Kami sedar terdapat jurang besar dari segi persembahan permulaan perlumbaan dengan tayar ini. Kami sudah dapat menghidu masalah yang bakal berlaku.
“Saya kehilangan kedudukan kepada Kimi dan selepas itu, saya gagal memberikan tentangan kerana tayarnya lebih bagus. Ini merupakan satu pengajaran buat kami. Dari seri persembahan, kami gagal mempamerkan sesuatu yang mengagumkan, hujung minggu ini.
“Bagaimanapun, saya masih berada di kedudukan ketiga, saya tetap bersyukur, namun, bermula di petak pertama dan kemudian menamatkan saingan di tempat ketiga, ia bukanlah satu keputusan yang baik,” ujar Hamilton.
Meskipun kecewa, Hamilton kelihatan yakin untuk memastikan gelaran dunia berada di dalam genggamannya di Mexico, hujung minggu akan datang. – AFP










