KETERBUKAAN menjawab kontroversi membabitkan dirinya membuatkan Zahirah MacWilson disenangi pihak media.
Sikap telus dan berpendirian teguh dengan setiap yang dilakukan seharusnya memberi contoh kepada anak seni lain, meskipun dia masih ‘hijau’ dalam industri seni.
Malah karakter gadis berusia 23 tahun itu tidak mudah melenting meskipun namanya sering terpalit kisah kurang menyenangkan berkaitan hal peribadi.
Ini termasuklah kontroversi terkini berhubung isu pemakaian skirt pendek yang dianggap terlalu seksi dan kurang sopan oleh warganet.
Niat asal pelakon utama drama Jangan Benci Cintaku itu berkongsi foto tersebut dalam akaun Instagram miliknya ketika berkunjung ke Tokyo, Jepun, baru-baru ini adalah atas tuntutan kerja.
Bagaimanapun perkongsian itu mendapat kecaman warganet dan Zahirah mempunyai pandangannya tentang isu tersebut.
MEGA HITS: Ramai yang menghentam anda hanya kerana sekeping foto dalam Instagram. Apa yang boleh anda kongsikan tentang isu hangat itu?
ZAHIRAH: Saya bukan saja-saja pakai begitu tetapi itu untuk kerja (lakonan).
Gaya pakaian Harajuku yang terkenal di Jepun itu disediakan oleh pihak AirAsia X sempena kunjungan saya ke sana. Ini merupakan pertama kali saya menjejakkan kaki ke negara matahari terbit dan saya ke sana atas sebab kerja. Tidak mungkinlah saya pakai begitu untuk suka-suka.

Saya sentiasa berfikiran rasional setiap kali memuat naik sebarang foto terutama untuk berkongsi aktiviti harian. Isu pemakaian yang melibatkan saya ini bukanlah pertama kali terjadi. Sebelum ini ada yang kata saya berpakaian hingga mendedahkan baju dalam.
Saya suka untuk ambil pendekatan senyap dan tidak perlu melenting. Yang penting empunya badan tahu yang dilakukan asalkan tidak melampaui batas. Kalau dipanjangkan hal ini, saya rasa tidak akan habis orang perkata.
Jadi anda memang sudah jangka akan menerima kutukan dan kritikan sebelum berkongsi gambar tersebut?
Saya sedar isu pakaian yang menampakkan paha itu sensitif di negara ini. Ya, secara jujur saya sudah menjangka penampilan saya itu akan menimbulkan rasa kurang senang warganet.
Lagi sekali saya ingin katakan, ini semua atas tuntutan kerja dan saya ke sana bukan untuk melancong seperti ulasan yang saya terima di ruangan komen.
Meskipun anda sudah memberikan kenyataan, apakah tiada sedikit rasa kecil hati atau kecewa dengan sikap masyarakat yang sengaja memperbesar-besar isu terbabit?
Sejujurnya tidak. Sebab saya memahami tahap sensitiviti soal pemakaian dalam kalangan masyarakat kita ini agak tinggi. Saya lakukan itu sebagai satu tanggungjawab yang diamanahkan.
Sama sahaja kalau saya berlakon dan perlu berpakaian seksi bagi menyesuaikan tuntutan watak dalam lakonan.
Mulut manusia saya tidak boleh tutup. Biarlah… mereka (akan) senyap bila sudah penat bercakap. Prinsip saya senang sahaja, abaikan kata-kata kecaman dan jangan cepat melatah.
Nak cakap fasal gaya dan fesyen, semuanya di hujung jari. Sebagai contoh gaya Harajuku sebenarnya sudah lama di Jepun dan diikuti remaja seluruh dunia.
Tak perlu tunggu saya untuk mempengaruhi gaya pemakaian remaja. Walaupun saya dibesarkan di Perth, Australia selama dua dekad, saya rasa yang saya pakai tidak mencolok mata.
Malah ibu bapa saya juga tahu stail pemakaian anaknya macam mana.
“Henti lagakan kami!”
TIDAK hanya isu pakaian, nama bintang Duda Pujaan Dara itu turut dikaitkan apabila didakwa bermasalah dengan dramatis Rita Rudaini.
Malah mengikut laporan sebuah akhbar tempatan, Rita turut dikatakan enggan bekerjasama dengan Zahirah pada satu acara anugerah baru-baru ini.
Tidak mahu terus-menerus membuat spekulasi yang tidak benar, anak kepada pelakon Zainol MacWilson itu menjawab tuduhan yang membabitkan namanya.
MEGA HITS: Boleh ceritakan sejauh mana kesahihan berita itu?
Saya tidak kenal rapat dengan Rita dan belum pernah bekerja dengannya.
Saya memang terkejut dengan khabar angin kononnya dia cemburu dengan kejayaan saya.
Walau apapun, saya hormati dia sebagai artis senior. Saya baru tiga tahun dalam industri dan setakat ini, rasanya belum pernah lagi bergaduh atau buat salah dengan sesiapa.
Sampai sekarang saya tertanya-tanya macam mana berita palsu itu boleh timbul sedangkan kami berjumpa pun tidak pernah apatah lagi bertentang mata.
Orang luar jangan cuba untuk melaga-lagakan kami.
Dengan penyebaran kisah itu, adakah anda akan lebih berhati-hati?
Lumrah dunia. Tak semua orang sukakan saya dan sebaliknya. Saya okey sahaja kalau ada yang tak suka dengan saya.
Takkanlah saya nak paksa semua orang untuk sukakan, kan? Jadi, tidak mengapalah, saya buat kerja saya dan jalankan tanggungjawab, rasanya sudah memandai.
Saya sertai industri lakonan dengan harapan nak cari rezeki dan tidak mahu bergaduh atau bermasam muka dengan rakan artis lain.
Industri seni kita ini kecil sahaja, pergi mana-mana pun akan jumpa orang sama. Lagi pula saya masih terlalu baharu dalam bidang ini, masih banyak lagi perkara yang nak dikejar.









