PUTRAJAYA 30 Okt.- Para penjawat awam termasuk Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) digesa berani tampil ke hadapan untuk memberikan nasihat betul kepada kerajaan apabila berhadapan konflik kepentingan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar menegaskan, perkara itu demi memastikan agar perkhidmatan kepada rakyat dapat dijalankan dengan penuh amanah.
“Kalau perkara itu betul, katakan ya dan kalau perkara itu salah, kita perlu berani membetulkannya.
“Budaya kerja berdisplin tinggi adalah penting dalam meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran,” katanya ketika berucap dalam Istiadat Penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA), di sini hari ini.
Ismail menambah, setiap anggota perkhidmatan awam kini memikul satu tanggungjawab besar dalam memastikan segala urusan kerajaan berpandukan prinsip kedaulatan undang-undang.
Ujarnya, semua urusan kerajaan hendaklah berjalan atas prinsip pemisahan kuasa dan ini bermakna segala keputusan diambil haruslah berpandukan peraturan telah digubal.










