KUALA LUMPUR 27 Okt. – MIC bersedia untuk bekerjasama dengan Pas bagi membentuk satu gagasan baharu dalam kalangan parti pembangkang di negara ini.
Sehubungan itu, jelas Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran, pihaknya memberi mandat kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan hala tuju baharu BN termasuk kerjasama dengan Pas.
“Saya diberitahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa walaupun agama Persekutuan adalah agama Islam, agama lain diberikan jaminan oleh parti itu, mereka tidak menggugat agama lain. Tiada sebuah kuil pun di Kelantan dirobohkan kerajaan Pas.
“Kalau Lim Kit Siang sekeluarga boleh bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, lebih baik kita bekerjasama dengan Pas. Hala tuju Amanah tiada beza dengan Pas, kalau mereka boleh kerjasama dengan Amanah kenapa kita tidak dengan Pas,” katanya dalam Perhimpunan Agung MIC Ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahmad Zahid; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Presiden MyPPP, Datuk Seri Maglin D’Cruz; Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Dalam pada itu, Vigneswaran berkata, MIC akan bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak.
“Kami akan pastikan MIC tidak lagi menjadi beban kepada UMNO tetapi sebagai sebuah parti yang menjadi kekuatan kepada BN,” katanya.










