KUALA TERENGGANU 21 Okt. – Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM500, lima tahun lalu.
Suhaimee Wan Mohamad, 35, yang merupakan pembantu awam di Pejabat Hutan Daerah Terengganu Utara membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.
Tertuduh didakwa memperoleh wang suapan RM500 daripada pemilik sebuah syarikat sebagai balasan supaya kerja-kerja pembalakan di kawasan Hutan Simpan Hulu Terengganu yang dilakukan oleh syarikat itu tidak diganggu.
Mengikut kertas pertuduhan, wang tersebut didakwa dimasukkan oleh kerani syarikat ke dalam akaun Affin Bank milik tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Affin Bank Cawangan Kuala Terengganu, 63, Jalan Sultan Ismail kira-kira pukul 1.38 petang, pada 23 Mei 2013.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahidah Muslimah Roslan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 November depan sebagai sebutan semula kes berkenaan.- UTUSAN ONLINE










