BERLIN – Lelaki yang dituduh sebagai pembunuh paling banyak melakukan pembunuhan selepas era Perang Dunia Kedua dikenali oleh rakan-rakan sekerjanya sebagai ‘lelaki baik’ dan tidak menimbulkan sebarang syak wasangka sehinggalah jenayahnya terbongkar.
Pendakwa raya berkata, Niels Hoegel, 41, merupakan seorang jururawat lelaki yang obses terhadap kuasa. Dia memilih mangsanya secara rawak kerana perasaan ‘bosan’.
Hoegel mengaku menyuntik sejumlah pesakit dengan ubat yang menyebabkan kegagalan jantung atau kegagalan peredaran darah supaya dia dapat mencuba menyelamatkan mereka. Sekiranya berjaya, Hoegel akan menerima pujian rakan sekerja dan pegawai atasannya.
Permainan berbahaya itu mengakibatkan lebih 100 pesakit meninggal dunia.
Perbicaraan esok adalah yang ketiga terhadap Hoegel sejak tahun 2015 berhubung pembunuhan di hospital tempat dia bekerja.
Dia didapati bersalah dalam dua perbicaraan sebelum ini dan dihukum penjara selama 15 tahun, namun, pasukan penyiasat meminta supaya ujian keracunan dilakukan terhadap lebih banyak mayat yang digali semula.










