Jumlah pengundi rendah di Cabang Ipoh Barat - Utusan Malaysia

Jumlah pengundi rendah di Cabang Ipoh Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 27 Okt. – Bilangan ahli PKR Cabang Ipoh Barat yang mengundi bagi pemilihan di cabang tersebut hari ini merekodkan jumlah yang rendah pagi ini.

Difahamkan, setakat pukul 11.30 pagi kira-kira 150 orang ahli cabang itu telah mengundi berbanding jumlah pemilih berdaftar seramai 2,301 orang.

Penyandang Ketua Cabang Ipoh Barat, M. A. Tinagaran berkata, jumlah peratusan keluar mengundi itu dijangka meningkat selepas pukul 2 petang berikutan terdapat pemilih yang bekerja separuh hari pada hari ini.

Katanya, beliau menyasarkan kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli PKR di cabang itu akan keluar mengundi calon masing-masing.

“Melihat trend di negeri-negeri lain, kita mencatatkan antara 30 ke 40 peratus ahli keluar mengundi dan di Ipoh Barat, kita turut menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus ahli akan mengundi.

“Setakat ini keadaan berlangsung dengan tenang dan terkawal. Proses demokrasi masih diraikan secara sihat dan teratur di sini,” katanya ketika ditemui di perkarangan tempat mengundi Cabang Ipoh Barat di Hotel Indra di sini hari ini.

Tinagaran yang telah menyandang jawatan sebagai Ketua Cabang Ipoh Barat selama dua penggal dicabar dua calon lain iaitu Y. Henry dan Ahmad Jarjis Yaakub.

Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan pagi tadi apabila seorang ahli PKR yang datang seawal pukul 8 pagi tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan mengundi ekoran tempat mengundi hanya dibuka pada pukul 10 pagi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN