PUTRAJAYA 6 Okt.- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan bertindak segera memasang papan tanda amaran dan pagar menghala masuk ke jambatan atas struktur weir di lombong Taman Putra Perdana, Puchong bagi menghalang orang luar masuk ke kawasan tersebut.
Menurut JPS dalam satu kenyataan, kerja-kerja pemasangan tersebut akan dilaksanakan oleh JPS Selangor.
“JPS mengambil serius aspek-aspek keselamatan di kolam itu memandangkan kawasan tersebut bukan kawasan bagi orang ramai melakukan aktiviti air dan riadah,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengarahkan lombong tersebut ditutup selepas sahaja operasi yang meragut enam nyawa anggota bomba dan seorang remaja, Mohd. Ilham Fahmi Mohd. Azam, 17, ditamatkan.
Dalam kejadian tersebut, enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, lemas ketika operasi mencari dan menyelamat Mohd. Ilham Fahmi.-UTUSAN ONLINE











