SUNGAI PETANI – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menolak dakwaan 30 peratus undi hilang pada pemilihan fasa pertama di 11 cabang di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Rashid Din berkata, undi yang didakwa hilang itu adalah ahli yang mendaftar tidak mengundi dan kertas undi yang tidak dikembalikan.
“Memang ada data kehilangan undi seperti yang dikatakan tetapi bila kita periksa mendapati sebahagiannya bukan hilang tapi disebabkan kertas undi yang tidak dikembalikan.
“Mereka cetak kod tapi mereka tak undi mungkin ada yang balik terus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan di pusat pemilihan PKR Cabang Sungai Petani di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor di sini hari ini.
Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataannya hari ini mendakwa 30 peratus undi ahli PKR Kedah didakwa hilang dari sistem pengundian pada proses pemilihan di 10 cabang parti itu di negeri ini semalam.
Beliau berkata, masalah sistem e-Undi yang pertama kali diperkenalkan pada pemilihan PKR itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli walaupun selepas jaminan ia akan diselesaikan.
Kehilangan undi tersebut didakwa berlaku dalam pemilihan di 10 cabang di negeri itu iaitu Pendang, Jerlun, Kuala Kedah, Padang Terap, Baling, Sik, Alor Setar, Langkawi, Kubang Pasu dan Pokok Sena yang dipercayai disebabkan masalah pada sistem e-undi.
Fasa satu pemilihan PKR di negeri ini semalam menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus mendahului dengan undi berjumlah 1,148 manakala Rafizi Ramli pula memperoleh sebanyak 1,031 undi dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti.
Dalam perkembangan sama, Rashid berkata, pihaknya menjangkakan proses pemilihan fasa dua melibatkan lima cabang iaitu Sungai Petani, Merbok, Jerai, Padang Serai dan Kulim- Bandar Bharu di negeri itu akan berjalan dengan lancar.
“Kita sudah buat persediaan terbaik dengan menambah jumlah petugas JPP dan juga tab dengan capaian internet yang baik.
“Kita juga bekerjasama dengan pihak polis dan Rela bagi memastikan kelancaran proses pemilihan,” katanya. – K! ONLINE










