JPP nafi dakwaan ada undi hilang - Utusan Malaysia

JPP nafi dakwaan ada undi hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menolak dakwaan sebanyak 30 peratus undi hilang pada pemilihan fasa satu di 11 cabang yang berlangsung di negeri ini kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Rashid Din berkata, undi yang didakwa hilang itu adalah ahli yang mendaftar tidak mengundi dan kertas undi yang tidak dikembalikan.

“Memang ada data kehila­ngan undi seperti yang dikatakan tetapi bila kita periksa mendapati sebahagiannya bukan hilang tapi disebabkan kertas undi yang tidak dikembalikan.

“Mereka cetak kod tapi me­reka tak undi mungkin ada yang balik terus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan di pusat pemilihan PKR Cabang Sungai Petani di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor di sini semalam.

Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataannya yang dikeluarkan semalam mendakwa, 30 peratus undi ahli PKR Kedah didakwa hilang daripada sistem pengundian pada proses pemilihan di 10 cabang parti itu di negeri ini kelmarin.

Beliau berkata, masalah sistem e-undi yang pertama kali diperkenalkan pada pemilihan PKR itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli walaupun diberi jaminan akan diselesaikan.

Kehilangan undi tersebut didakwa berlaku dalam pemilihan di 10 cabang di negeri ini iaitu Pendang, Jerlun, Kuala Kedah, Padang Terap, Baling, Sik, Alor Setar, Langkawi, Kubang Pasu dan Pokok Sena yang dipercayai disebabkan masalah sistem e-undi.

Sementara itu, seramai 60,878 ahli PKR Perak mengundi secara serentak di 24 cabang di seluruh negeri itu semalam.

Semua pusat pengundian dibuka serentak tepat pukul 9 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang

Pemilihan PKR Perak sepatutnya diadakan pada 23 September lepas, namun ditangguhkan susulan beberapa masalah yang terjadi semasa pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang sehari sebelum itu.

Seramai 54 calon bertanding merebut jawatan ketua cabang manakala 1,183 calon lagi menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan lain di peringkat cabang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN