PUTRAJAYA 31 Okt.- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun bahawa calon Ketua Cabang PKR Kimanis di Sabah mempunyai dua MyKad.
Jabatan itu dalam kenyataanya berkata, berdasarkan semakan yang telah dibuat, calon yang dimaksudkan oleh Setiausaha Agung PBS itu hanya pernah dikeluarkan dengan satu MyKad sahaja dan bukannya dua seperti didakwa.
Menurut jabatan itu, setiap individu hanya diberikan dengan satu nombor kad pengenalan dua belas digit yang unik dimana nombor berkenaan dijana oleh sistem dengan menggunakan formula tertentu.
“Ingin ditegaskan, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana individu mendapatkan lebih dari satu MyKad tanpa kuasa atau sebab yang munasabah berdasarkan Subperaturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Sehingga kini, JPN juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa surat yang mengesahkan mana-mana individu mempunyai dua MyKad,” kata jabatan itu dalam satu kenyataanya di sini hari ini.
Semalam, Johnny Mositun mendakwa calon PKR yang bertanding jawatan Ketua Cabang Kimanis dalam pemilihan parti itu memiliki dua MyKad dan meminta JPN dan Pejabat Ketua Menteri Sabah memberi penjelasan mengenai perkara itu.
Beliau berkata, perkara tersebut terbongkar selepas calon berkenaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan rasuah pada minggu lalu. – UTUSAN ONLINE










