PARIS 15 Okt. – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memberitahu media Perancis bahawa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un ikhlas dan benar-benar bersedia untuk melucutkan program senjata nuklear di negara itu dan komuniti antarabangsa perlu menghargai sikap positif beliau.
“Saya sudah mengadakan perbincangan teliti dengan Jon-un selama berjam-jam sebelum ini dan hasilnya menunjukkan beliau sudah bersedia untuk menghentikan program senjata nuklearnya,” katanya kepada akhbar Le Figaro.
Biarpun Pyongyang sudah menghentikan ujian peluru berpandunya pada tahun ini, namun negara itu gagal untuk mengotakan janjinya apabila tidak membenarkan kumpulan pemantau antarabangsa memeriksa tapak nukelar Punggye-ri pada Mei lalu.
Namun, Jae-in menegaskan bahawa Jong-un sebenarnya bersikap ikhlas, tenang serta sopan terhadap rancangan melucutkan program senjata nuklear selain melahirkan rasa kecewa terhadap komuniti antarabangsa kerana berterusan tidak mempercayai keputusannya.
“Sudah tiba masanya untuk kita bertindak balas terhadap kesungguhan beliau dan kita perlu memastikan Jong-un membuat keputusan betul dengan menghentikan program nuklearnya bagi menjamin keamanan kukuh,” ujarnya.
Selain itu, Jae-in juga berharap satu lagi sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan Jong-un pada masa akan datang membolehkan kedua-dua pemimpin tersebut melaksanakan rancangan serta persetujuan yang dimeterai di Singapura pada Jun lalu.
Dalam perkembangan lain, Korea Utara dan Korea Selatan hari ini bersetuju untuk mengadakan majlis pecah tanah pada akhir November atau awal Disember ini bagi memperkasa trek kereta api serta jalan raya yang menghubungkan kedua-dua sempadan.
Persetujuan tersebut dicapai selepas satu sesi dialog tahap tinggi diadakan di bangunan Peace House di Panmujom.
Sebelum itu, kedua-dua Korea bersetuju untuk mengadakan kajian lapangan mengenai laluan kereta api di sepanjang kordior barat Semenanjung Korea dari Oktober dan laluan di koridor timur dari awal November ini. – REUTERS/BERNAMA










