JAKARTA 29 Okt. – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi bersedih atas nahas melibatkan pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di Tanjung Karawang, Jawa Barat, hari ini.
Jokowi berkata, belia menerima laporan berhubung tragedi itu daripada Menteri Perhubungan, Budi Karya Sumadi, pagi ini,
“Saya terus berdoa dan berharap mangsa segera ditemukan,” kata Jokowi di Bali, hari ini.
Jokowi berkata, sejurus mengetahui insiden itu, beliau segera mengarahkan ketua agensi mencari dan menyelamat dibantu oleh tentera dan polis Indonesia segera melakukan operasi mencari dan menyelamat secepat mungkin.
Katanya, beliau turut merasakan kerisauan yang dialami ahli keluarga mangsa dan berharap mereka dapat menunggu berita daripada pasukan mencari dengan tenang,
“Sekali lagi, kita masih fokus kepada pencarian dan penyelamat mangsa,” kata Jokowi.










