KUALA NERUS – Dua notis kesalahan dikeluarkan terhadap penjual minuman keras di Kuala Terengganu berikutan kegagalan premis tersebut mengasingkan minuman beralkohol dengan makanan lain.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr. Mohd. Jusoh berkata, menerusi Operasi Arak yang dijalankan Isnin lalu, sebanyak 40 buah premis menjual minuman keras diperiksa melibatkan kekuatan 66 anggota penguatkuasa.
“Dua notis kesalahan dibawah peraturan 361(5) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikeluarkan dalam operasi itu ekoran kegagalan penjual untuk mengasingkan minuman beralkohol dengan makanan lain dengan kompaun yang ditawarkan sebanyak RM5,500.
“Kegagalan mematuhi peraturan 361 dan 386A mengenai Sebatian Minuman Keras (CHL) merupakan satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun sekiranya sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd., operasi yang dijalankan itu selaras dengan pewartaan pindaan peraturan berkait minuman beralkohol dibawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 oleh Kementerian Kesihatan berkuatkuasa 16 Oktober lalu.
Tambah Mohd., operasi tersebut turut menekankan penguatkuatkuasaan pindaan ke atas peraturan 361 mengenai standard am minuman beralkohol sedia ada termasuk larangan menjual arak kepada individu berumur kurang 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.
“Peniaga juga wajib meletakkan minuman beralkohol dalam rak berasingan daripada kabinet atau rak makanan lain dan mempamerkan notis ‘meminum arak boleh membahayakan kesihatan’ di lokasi jualan minuman keras itu,” ujarnya. – K! ONLINE









