Jihad jadi pemain utama pasaran halal global - Utusan Malaysia

Jihad jadi pemain utama pasaran halal global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU cabaran besar buat Malaysia khususnya umat Islam di negara ini untuk bangkit menjadi pemain utama industri halal dunia apabila pasaran tersebut masih dikuasai negara bukan Islam.

Konsultan Halalan Quality Consultancy (HQC), Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, umat Islam seharusnya menjuarai industri halal dunia dan bukannya dimonopoli oleh negara bukan Islam berdasarkan kelebihan yang ada pada umat Islam.

Katanya, antara kelebihan buat umat Islam untuk menjuarai sektor tersebut adalah berdasarkan kelebihan menerusi konsep ‘halalan toyyiban’ yang telah diterapkan dalam ajaran Islam sejak sekian lama.

Pada masa ini menurutnya, beberapa buah negara bukan Islam telah menjuarai produk halal pada peringkat antarabangsa seperti pengeluar produk tenusu halal dunia dikuasai New Zealand dan Australia, manakala Brazil terkenal dengan keupayaan membekalkan produk ayam.

Sehubungan itu, katanya, menjadi satu agenda penting buat umat Islam terutama usahawan di negara ini untuk memperoleh persijilan halal bagi membolehkan perniagaan mereka bersaing pada peringkat antarabangsa, sekali gus mengembangkan rangkaian perniagaan di pentas dunia.

“Menerusi konsep persijilan halal, industri halal telah dimanfaatkan dan dipraktikkan oleh pemain utama yang terdiri daripada negara bukan majoriti Islam, setelah mereka mengenal pasti dan menyedari potensi besar yang ada dalam pasaran halal dunia.

“Menerusi teknologi dan kepakaran sedia ada, negara bukan Islam berjaya menguasai pasaran halal dunia yang mempunyai jumlah pasaran yang besar, manakala sebahagian kecil pasaran halal dikuasai negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada golongan usahawan, di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sempena Program Kesedaran Industri Halal bertajuk “Halal dan Haram dalam Islam, Apa Yang Usahawan Patut Tahu” anjuran bersama Biro Halal, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya dan GoHalal. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Wilayah Persekutuan Putarajaya, Jamal Hisham Jermi.

POTENSI LUMAYAN

Mengulas lanjut, Khairul berkata, berdasarkan sumber yang diperoleh dari Laporan Ekonomi Islam Global 2017/18, pasaran Muslim sedia ada adalah sebanyak AS$2,006 bilion (RM8,304.8 bilion) iaitu kira-kira 11.9 peratus perbelanjaan global.

Tambahnya, pasaran global bagi produk halal berpotensi adalah sangat besar apabila sektor tersebut mencecah sehingga AS$3,081 bilion (RM12,755.3 bilion).

Jelasnya, kira-kira 67 peratus produk berpotensi halal dikategorikan sebagai barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG), malah makanan FMCG dan daging utama menyumbang sebanyak 62 peratus daripada jumlah pasaran dunia.

Namun begitu katanya, negara bukan Islam masih menjuarai 10 tangga teratas sebagai pengeksport utama produk halal dalam pasaran halal global.

Katanya, 10 buah negara tersebut adalah India, Brazil, Australia, Amerika Syarikat, Argentina, New Zealand, Thailand, Singapura, Filipina serta Perancis.

Jelasnya, hanya Malaysia dan Indonesia merupakan dua buah negara Islam utama di dunia yang berjaya menempatkan diri untuk menguasai sebahagian kecil pasaran halal global.

Bagaimanapun menurutnya, berdasarkan Penunjuk Ekonomi Islam Global, Malaysia menunjukkan potensi memberangsangkan apabila menduduki ranking pertama global negara Islam dengan mencatat 146 mata.

Katanya, prestasi cemerlang itu dicapai berdasarkan sokongan baik daripada sektor kewangan Islam dan industri makanan halal bagi tahun 2017.

“Malaysia berjaya untuk berada di tangga teratas untuk 10 buah negara Islam terbaik dalam industri halal global, sekali gus mengatasi negara maju Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN