PULAU PINANG 20 Okt. – Jenazah dua rakyat Indonesia yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus dekat Paya Terubong semalam akan dihantar pulang esok selepas semua urusan diselesaikan.
Pegawai Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kurniati berkata, jenazah Samsul, 19, dan Bahtiar, 36, akan dimandikan di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang pukul 9 pagi esok sebelum proses penghantaran dilakukan ejen bertanggungjawab.
Menurutnya, kedua-dua jenazah itu dijangka tiba di Indonesia pada Selasa dan dikebumikan di kampung halaman mereka dekat Buton Tengah, Sulawesi.
“Esok urusan mandikan jenazah akan dibantu oleh keluarga mangsa sebelum dihantar pulang melalui laluan Pulau Pinang-Kuala Lumpur-Jakarta-Kendari sebelum dijangka tiba Selasa.
“Ibu dan bapa Samsul juga akan pulang lebih awal untuk menyambut jenazah anak mereka di Kendari,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Tambah Neni, isteri Bahtiar, Wa Irri masih dirawat di HPP kerana keadaannya masih belum stabil dan sering pengsan akibat terlalu sedih dengan kematian suaminya.
Jelasnya, pada masa ini masih terdapat seorang rakyat Indonesia dikenali sebagai Subairi masih hilang dan keluarganya juga berada di sini. – UTUSAN ONLINE










