KUALA LUMPUR 29 Okt. – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berpandangan satu jawatankuasa baharu peringkat Kabinet perlu diwujudkan bagi mengkaji isu lambakan warga asing yang memiliki tapak pasar pertanian dan kebun kecil di negara ini.

Sambil mengakui sukar bagi kementeriannya untuk menangani isu itu secara sendirian, beliau berkata, kerjasama agensi dan kementerian lain juga diperlukan bagi menangani isu lambakan tersebut secara holistik.
Jelasnya, cadangan jawatankuasa baharu ini berbeza dengan jawatankuasa Kabinet sedia ada dipengerusikan Menteri Dalam Negeri bagi mengawal kemasukan pekerja asing.
“Untuk kita menghalang mereka membeli atau menyewa tapak perniagaan di pasar borong sebagai contoh serta memastikan kebun kecil dan estet tidak dimiliki golongan pendatang asing, kementerian tidak boleh stand alone.
“Satu jawatankuasa baharu peringkat Kabinet perlu ditubuhkan untuk melihat perkara ini.
“Di peringkat kementerian, paling kita mampu iaitu menyediakan kemudahan terbaik berdasarkan peruntukan yang sedia ada untuk menggalakkan anak-anak muda tempatan terlibat dalam industri ini, tetapi berlakunya lambakan pekerja asing tanpa kawalan dan pemberian sewa serta pemilikan bangunan yang begitu longgar, itu saya rasa perlu dibincangkan dalam skala lebih besar,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri M. Saravanan (BN-Tapah) yang meminta kerajaan menyatakan langkah diambil untuk menangani isu warga asing yang hampir menguasai industri pertanian khususnya memiliki tapak pasar pertanian di negara ini.
Terdahulu, menjawab cadangan supaya kementerian meningkatkan pendapatan golongan belia dalam bidang pertanian, Salahuddin berkata, pihaknya telah merangka pelbagai program dengan kesan positif.










