KUCHING 31 Okt. – Kerajaan Sarawak akan memberi anugerah penghargaan khas kepada bekas bidan tidak terlatih yang banyak berbakti kepada masyarakat luar bandar pada sekitar tahun 1950-an sempena sambutan Hari Wanita yang bakal disambut pada 3 November ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pengikhtirafan itu adalah bagi menghargai jasa mereka menyambut kelahiran bayi dalam keadaan sukar dan penuh cabaran pada zaman tersebut.
Beliau berkata, bidan terbabit dilantik semasa pemerintahan British untuk membantu ibu-ibu yang bersalin di kawasan luar bandar tetapi perkhidmatan mereka ditamatkan selepas Sarawak mencapai kemerdekaan bersama Malaysia, ekoran tidak mempunyai kelayakan akademik yang dikehendaki oleh Kementerian Kesihatan.
“Para bidan sekitar tahun 1950-an ini cukup banyak berjasa kerana mereka membantu ibu-ibu bersalin dalam keadaan serba kekurangan tanpa kemudahan yang mencukupi.
“Pada masa itu, kemiskinan membelenggu penduduk dan tiada kemudahan asas seperti jalan raya yang elok menghubungi kawasan luar bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Persatuan kanser Payu Dara dan Persatuan Kesedaran Kanser Wanita di Bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, kesemua bidan yang dilantik pada zaman itu tidak mempunyai kelulusan akademik dan latihan tetapi berdasarkan kebolehan mereka termasuk seorang gadis berketurunan Kenyah berusia 16 tahun berasal dari Baram, Miri.
Beliau berkata, bayaran bagi bidan kampung itu juga amat rendah iaitu bergantung kepada jumlah kelahiran bayi yang disambut.
Namun, ujarnya, mereka sentiasa berkhidmat dengan ikhlas demi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi yang dilahirkan tanpa memperdulikan kesulitan yang ditempuhi.
“Mungkin sebab jasa dan hubungan baik dengan penduduk kampung, perkhidmatan bidan kampung ini masih diperlukan meskipun tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan selepas merdeka,” katanya.
Fatimah berkata, setakat ini, hanya 13 daripada bidan kampung pada era 50-an berjaya dikesan untuk diberikan anugerah penghargaan pada sambutan Hari Wanita yang bertemakan `Wanita dan Kesihatan’ yang diadakan di Pusat Konvensyen Penview di sini. – UTUSAN ONLINE









